Pages

Monday, June 13, 2011

Siapa dia pilihan hati?

Hari ini saya ingin mengulas sedikit tentang jodoh dan pilihan hati. Kenapa isu ini menjadi topik perbincangan? Berikutan 'mesyuarat tak rasmi meja bulat' bersama rakan-rakan Malaysia di bumi Belanda ini, salah satu isu yang dibincangkan adalah isu memilih pasangan hidup.

Sedikit mengenai pengalaman sendiri, saya mengenali suami saya ketika di zaman universiti. Kenal sebagai kawan, dan hadir dalam hidup saya seperti rakan-rakan seuniversiti yang lain. Sedikit sebanyak mengenali hati budi melalui persahabatan. Namun, keikhlasan hati dan peribadinya adalah faktor yang terserlah menjadikan ia salah satu daya tarikan untuk mengenalinya dengan lebih mendalam di antara lelaki-lelaki yang pernah menunjukkan minat terhadap saya. Dan sedikit penyelidikan tentang latar belakang termasuk agamanya. Sebelum menerimanya secara rasmi bagi mengisi ruang di hati, saya mengambil keputusan untuk bersolat ishtikharah dan berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang terbaik. Kerana saya berniat untuk mencari seorang suami dan bukanlah hanya teman lelaki untuk hiburan semata-mata bila mana hati saya terbuka untuk memulakan suatu perhubungan. Alhamdullilah, sejak 10 tahun berkenalan, kini kami sah bergelar suami dan isteri hampir 2 tahun.

Berbalik kepada topik asal, seorang teman masih lagi tercari-cari suri di hatinya. Mengikut situasi terkini, beliau mempunyai 3 pilihan hati tersenarai untuk disunting sebagai isteri. Masih keliru. ragu, sangsi dan pelbagai persoalan di benak. Tidak dapat membuat keputusan mana satu yang terbaik untuk dijadikan calon isteri. 

Berikutan itu, isu ini dikhabarkan oleh jejaka keliru kepada warga-warga yang berpengalaman. Pengulas 1 (wakil kaum lelaki) banyak menyentuh tentang  kehidupan yang bakal ditempuhi berdasarkan latar belakang, keluarga dan personaliti gadis-gadis yang tersenarai. Bunyi macam nak temuduga kerja pula ya? Pengulas 2 (wakil kaum wanita) mengulas tentang hati dan perasaan. Saya amat tertarik dengan jawapan yang diutarakan oleh pengulas 2 ini. Seringkasnya menyentuh tentang pilihan vs cinta. Bagi beliau tiada lagi erti cinta dan sayang sekiranya jejaka ini telah menyenaraikan 3 wanita untuk dipilih sebagai suri. Kerana memilih bakal isteri yang terbaik dan sesuai seharusnya lahir dari perasaan hati. Timbul dari rasa keikhlasan dan kasih sayang.

Saya bukanlah pakar dalam bab jodoh dan cinta. Tetapi sebagai penonton yang mendengar sedikit sebanyak dapat memberikan sedikit pendapat. Terbaca sedikit artikel yang membincangkan hal ini; 

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda:

“Wanita dinikahi karena empat perkara; karena hartanya, karena kedudukannya/ keturunannya, karena kecantikannya dan keranan agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya niscaya engkau beruntung.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))

Yang paling penting perlu diteliti adalah agama. Agama mencakupi seluruh aspek. Jika elok agamanya, insyaAllah indah akhlak dan budi pekertinya. Namun, berapa ramai antara kita yang meneliti hal ini dan menjadikannya sebagai faktor utama? Pelbagai kriteria lain yang menjadi faktor-faktor penting bagi sebilangan  dari kita ketika proses pemilihan. Antaranya; kecantikan, keturunan, kedudukan, harta dan karektor/personaliti pilihan hati.



Banyak sebab bila kita memilih. Namun bagi saya yang paling penting adalah perasaan yang lahir dari hati yang ikhlas. Ia perlu disemai dengan rasa kasih dan sayang. Bukan hanya kerana harta,  kedudukan, personaliti dan kecantikan semata-mata. Berapa ramai yang bertuah mendapat jodoh yang tinggi ilmu agamanya? Agama adalah antara faktor penting namun, jika si dia mampu menunaikan solat 5 waktu, mempunyai asas agama dan mempunyai kehendak untuk belajar dan mendalami Islam maka tidak perlulah kita hanya menyenaraikan seorang yang begitu sempurna agamanya seperti seorang alim ulama/ustazah untuk memasuki carta pilihan jodoh. Cukup jika sang suami mampu menjadi imam pada si isteri atau si isteri dapat mengingatkan suami untuk bersolat dan mengerjakan amalan lain. Amat penting untuk ingat mengingati antara satu sama lain. Ini kerana jodoh yang ditentukan selalunya menyempurnakan dan mengimbangi segala aspek satu-satu perhubungan. It compliment each other. 

Ianya satu bonus jika sesetengah dari mereka mendapat kelebihan tersebut dari bakal pasangan hidup umpamanya; tahap agama yang terbaik, paras rupa yang indah dan harta/kedudukan yang tinggi.  Sememangnya tidak salah menetapkan kriteria-kriteria dalam memilih jodoh, namun bijaklah meneliti. Tidak salah memilih yang terbaik namun jangan menanti yang terlalu sempurna. Kerana tiada yang terlalu sempurna di muka bumi ini. Selain agamanya, pilihlah si dia kerana cinta dan kasih sayang bukan kerana faktor luaran semata-mata. Bagi saya, tidak salah mempunyai banyak pilihan namun, janganlah memberi harapan kepada setiap pilihan yang ada kerana setiap insan mempunyai sekeping hati dan perasaan.

Bersederhanalah dan jangan lupa berfikirlah dengan waras, berisktiharah dan berdoa...


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...